Lelaki maut jatuh dari roda feris

SEORANG pengunjung lelaki berusia 39 maut setelah terjatuh dari roda feris melibatkan tapak
‘fun fair’ di Cheras Selatan pada lewat malam semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu yang merupakan pemilik ‘fun fair’ berkenaan.

“Saksi memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun jatuh dari buaian permainan ‘fun fair’ dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak ambulans dari Hospital Kajang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat manakala seorang lagi mangsa juga lelaki tempatan yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Nasir menyatakan kejadian pada jam 12.05 malam itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti sama ada wujudnya kecuaian dalam kalangan pemilik tapak ‘fun ‘fair tersebut.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.