Kerja Penyelenggaraan Jalan Punca Aliran Sesak Trafik Di Karak

Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak berikutan kerja-kerja penyelenggaraan jalan pagi ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) memaklumkan, kesesakan itu berlaku di Kilometer (Km) 11.6 dari Km 20.2 sehingga Km 31.8.

“Pantai Timur 1 (LPT 1) trafik lancar sepanjang lebuh raya di kedua-dua hala,” kata kenyataan itu.

Melalui tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, kesesakan berlaku hampir tiga jam di Genting Sempah ekoran satu lorong sahaja dibuka kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kesesakan tersebut berpunca daripada aktiviti kerja penurapan jalan dan juga penutupan lorong.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dianggarkan lebih 10 juta perantau di seluruh negara akan melakukan migrasi Aidilfitri bermula hari ini sehingga Jumaat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut 1 Syawal yang dijadual pada Sabtu.

Daripada jumlah tersebut, hampir 60 peratus merupakan perantau yang bermastautin di Lembah Klang dengan kebanyakan daripada mereka memilih untuk memandu kenderaan sendiri selain menggunakan pengangkutan darat seperti bas ekspres dan kereta api.

Sumber : Kosmo! | Gambar : NST