Jonker Walk Meriah Dengan Festival Silang Budaya, Pelbagai Seni Dan Tradisi Dipamerkan Termasuk Warisan Etnik Peranakan Baba Nyonya

Foto : Kosmo

MELAKA – Festival silang budaya yang memperkenalkan kepelbagaian seni dan tradisi termasuk warisan etnik minoriti Peranakan Baba Nyonya diadakan secara besar-besaran selama tiga hari bermula semalam di Jonker Walk, di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac), Datuk Mohd. Zamri Mat Zain berkata, Festival Merakyatkan Seni Budaya itu merupakan usaha kerajaan dalam memperkasakan nilai budaya dan warisan negara kepada umum dan pelancong luar.

“Melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKNN, kita mengadakan festival ini di Jalan Harmoni di Jonker Walk kerana keunikannya yang menghimpunkan tiga rumah ibadat iaitu Masjid Kampung Keling, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi dan Tokong Cheng Hoon Teng dalam satu kawasan sama.

“Antara pengisian utama festival ini adalah Kenduri Muhibbah yang menyediakan gaya makan ala Tok Panjang iaitu budaya Peranakan Baba Nyonya dan juadah ini telah disediakan sendiri oleh penduduk berbilang kaum secara gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Festival Merakyatkan Seni Budaya di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut juga, seramai 3,000 pengunjung dihidangkan dengan juadah tradisi yang disediakan di setiap rumah ibadat termasuklah menu nasi lemak di masjid, makanan vegetarian di tokong dan capati serta vadei di kuil.

Ujarnya, program itu turut menyelitkan acara Seniaga Melaka yang mengumpulkan produk daripada Kraftangan Malaysia, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Jabatan Warisan Negara dan produk-produk tempatan sebagai buah tangan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya, Datuk Ronald Gan berkata, festival tersebut merupakan platform terbaik untuk menghidupkan kembali nilai budaya etnik itu dengan pelbagai aktiviti termasuk domonstrasi masakan Baba Nyonya.

“Esok (hari ini) kita akan mulakan acara dengan senam seni, aerobik dan Tai Chi seawal pukul 8.30 pagi dan diteruskan dengan masakan tradisional Baba Nyonya yang akan diketuai oleh Cef Allan Wan.

“Di sebelah petang pula kita ada kumpulan Barongan Parit Bugis, Cak Lempong Canang diikuti persembahan konsert yang menampilkan beberapa kumpulan kesenian termasuk daripada JKKN Melaka dan Kelab Menari Kiawaian dari Sabah pada sebelah malamnya,”katanya.

Tambahnya lagi, para pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan Trio Peranakan Melaka dan tawaran pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional pada Ahad.

Ronald berkata, dijangkakan seramai 15,000 pengunjung akan hadir sepanjang festival itu berlangsung dan pihaknya berhasrat untuk mencadangkan agar festival silang budaya itu dapat dijadikan program tahunan di negeri ini.

Sumber : Kosmo