2,140 Borang Pencalonan Terjual, Selangor Paling Banyak Beli

Foto : Kosmo

PUTRAJAYA – Sebanyak 2,140 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan 245 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu sudah dijual setakat ini.

Mengikut statistik yang dikongsikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), negeri Selangor mencatatkan jumlah penjualan borang tertinggi iaitu sebanyak 656 borang dan diikuti Kelantan iaitu 649 borang.

Pulau Pinang pula merekodkan sebanyak 254 penjualan borang diikuti Kedah (207), Negeri Sembilan (178), Terengganu (161) dan Ibu Pejabat SPR (30).

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula, SPR memaklumkan setakat ini sebanyak lima borang telah terjual.

PRN kali ini diadakan bagi mengisi kekosongan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Seramai 9,773,571 orang layak mengundi pada PRN kali ini.

Mereka terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota tentera serta pasangan, 47,728 anggota polis serta pasa­ngan dan 1,727 orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

SPR sebelum ini mengumumkan hari pengundian bagi PRN enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos ini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.

Sumber : Kosmo