Halang umat Islam berpuasa isu serius! – Hamzah Zainudin

ISU halangan umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan satu perkara yang serius.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, pihaknya mengarahkan siasatan terperinci dibuat pihak polis berhubung kes dua pengawal peribadi yang dipercayai dipukul sehingga cedera oleh majikan mereka gara-gara berpuasa.

“Kita kena ambil tindakan yang tegas kalau sesiapa melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan ketidakpuasan terutamanya semata-mata kerana isu berpuasa.

“Jadi orang berpuasa ini adalah isu yang paling besar dalam negara kita.

“Kita kena faham bahawa dia orang Islam perlu berpuasa, kenapa orang bukan Islam hendak suruh jangan berpuasa? Ia sesuatu yang salah,” katanya dalam Sidang Media Wacana Meja Bulat hari ini.

Tegas Hamzah, polis tidak akan berkompromi dengan kes sedemikian.

Tindakan tegas akan diambil kepada individu berkenaan sebaik sahaja pihaknya mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua pengawal peribadi terbabit cedera dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Pinang, ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi suspek.

“Semasa berada di kondominium terbabit, suspek yang merupakan majikannya telah bertanya adakah mereka berpuasa ketika hari kejadian.

“Setelah diberitahu mereka berpuasa, suspek bertindak memarahi dan menampar kepala mangsa,” katanya.