8 Juta B40 Terima Bayaran STR Fasa 3 Mulai 26 Jun – MOF

Foto : Kosmo

Lebih lapan juta golongan B40 bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang disalurkan secara berperingkat mulai 26 Jun ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pembayaran itu membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion yang mana penerima akan menerima RM100 hingga RM1,300 mengikut kelayakan masing-masing.

Menurut kenyataan itu, bagi penerima yang mempunyai akaun bank ia disalurkan bermula 26 Jun hingga 5 Julai manakala yang tidak mempunyai akaun bank termasuk Sabah dan Sarawak menerima secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 26 Jun.

“Status kelulusan STR Fasa 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun ini. Sebagai langkah memastikan program STR Fasa 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai.

“Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya, di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan pembayaran STR Fasa 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada Julai ini.

“Ini (pembayaran awal) adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat,” ujarnya.

Tambah MOF, fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada bulan Januari dan April lepas.

Ketiga-tiga Fasa STR ini melibatkan peruntukan berjumlah RM5 bilion pada tahun ini. Pembayaran fasa keempat STR dijangka dibuat pada November ini. 

Sumber : Kosmo