Presiden Costa Rica Dituduh ‘Salah Guna Kuasa’ Campur Tangan Kes Cerai Ahli Perniagaan

Foto : Portal Berita RTM

SAN JOSE- Pejabat Pendakwa Raya Costa Rica telah membuka siasatan terhadap Presiden Rodrigo Chaves dan beberapa anggota pentadbirannya, atas dakwaan salah guna kuasa.

Pada 25 Julai lalu, seorang ahli perniagaan Leonel Baruch membuat aduan, menuduh Chaves campur tangan dalam prosiding perceraian dan hak penjagaan anaknya.

Turut terlibat dalam siasatan tersebut adalah Menteri Perhubungan Jorge Rodriguez, penasihat presiden Gabriel Vargas dan bekas isteri Baruch, Yafit Ohana.

Baruch mendakwa bekas isterinya menerima layanan baik kerajaan dalam perceraian itu selepas menyumbang kepada video media sosial yang digunakan oleh Menteri Kewangan, Nogui Acosta, untuk mengecam kes yang didakwa mengelak cukai.

Pertikaian antara Baruch dan Chaves terbongkar melalui kenyataan yang dihantar oleh peguam ahli perniagaan itu di mana beliau mengesahkan bahawa “tiada alternatif lain selain tindakan undang-undang yang diambil terhadap presiden republik itu dan peserta lain dalam tindakan sedemikian.”

Kesalahan salah guna kuasa di Costa Rica membawa kepada hukuman penjara dua hingga lima tahun bawah undang-undang antirasuah, dengan penalti meningkat satu pertiga untuk pegawai awam.

Kes tersebut masih di peringkat ‘sulit’ kata Pejabat Pendakwa Raya, bermakna tiada maklumat lanjut boleh diberikan.

Ini adalah siasatan kedua yang dibuka terhadap Chaves dalam masa kurang sebulan.

Pada 17 Julai, Pejabat Pendakwa Raya membuka siasatan rasmi ke atas presiden itu juga atas dakwaan salah guna kuasa selepas Chaves mengembara ke Latvia, negara asal isterinya, selepas lawatan rasmi ke Belgium.

Presiden Chaves dan pentadbirannya bagaimanapun masih belum mengulas secara terbuka mengenai kes itu. Siasatan terhadap dakwaan itu sedang dijalankan. – AFP