Lelaki dipenjara selepas kerat dan simpan zakar kekasih gelap isteri sebagai cenderahati

KERJA gila! Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana memotong zakar kekasih isterinya dan menyimpan organ tersebut sebagai ‘cenderahati’, lapor Daily Star.

Alex Bonilla, 51, melakukan jenayah itu terhadap mangsa di daerah Gilchrist, Tallahassee pada 2019.

Dia menuduh ­mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Bonilla turut mengaku bersalah menculik dan memukul mangsa menggunakan senjata berbahaya.

Dia dikatakan telah pergi ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan rumahnya sambil membawa sepucuk pistol serta mengikat mangsa di sebuah kerusi sebelum memotong zakarnya.

Pihak berkuasa Daerah Gilchrist menjelaskan bahawa Bonilla yang merupakan bapa kepada lima anak kemudian melarikan diri ke rumahnya bersama zakar mangsa yang dikerat.

Menurut mangsa, Bonilla mengikat tangannya ke belakang dan memberitahu: “Kamu tidak akan mati hari ini (hari kejadian) tetapi akan mengingatinya seumur hidup kamu.”

Bonilla yang berhijrah ke AS dari El Salvador pada 1990 kemudian melurut seluar pendek mangsa sebelum mengikat getah di zakar lelaki itu beberapa kali bagi menghentikan aliran darah sebelum memotongnya.

Sumber: kosmo!