Ubai Dan Shila Amzah Sudah Bertunang

Foto : IG Shila Amzah

Desas desus penyanyi Shila Amzah, 33, yang dikatakan bertunang dengan kekasihnya, pempengaruh TikTok, Ubai, 25, pada hari ini seakan menjadi kenyataan.

Shila menerusi Instagram Storinya sebentar tadi berkongsi gambarnya berpakaian sedondon berwarna ungu bersama Ubai sambil tersenyum di pelamin yang direka khas untuk majlis mereka. 

Terdahulu usaha Harian Metro untuk mendapatkan pengesahan daripada pembantu peribadinya, Aini, sejak tengahari tadi tidak berjaya apabila dia tidak menjawab mesej WhatsApp yang dikirim. 

Pasangan ini mula menjalinkan hubungan rapat sejak tahun lalu. 

Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, mula berkawan rapat dengan Shila selepas penyanyi itu melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadinya.

Menurut Ubai, dia sudah mengenali Shila sejak 2011, tapi hubungan mereka bertambah akrab sekitar 2014.

“Namun sejak tahun lepas hubungan kami menjadi semakin rapat selepas dia mengalami fasa sukar dalam hidupnya (bercerai).

“Sebagai kawan saya sentiasa mahu yang terbaik untuk Shila dan ada disampingnya saat dia memerlukan peneman untuk meluahkan segala ujian yang dilalui.

“Tak sangka hubungan itu lama-kelamaan menjadi semakin serius dan dia berkongsi mengenai hubungan kami ketika siaran langsung di TikTok,” katanya kepada Harian Metro sebelum ini. 

Shila pula bercerai talak satu dengan bekas suami, Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais.

Sumber : Harian Metro