‘Takkan Popular Dan Berjaya Jika Sombong’ – Noorkumalasari

Noorkumalasari, 67, menyifatkan sikap segelintir penggiat seni tanah air hari ini berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang sudah terbabit sejak dulu lagi.

Bekas primadona filem Melayu ini ketika ditemui berkata, walaupun semakin ramai bakat baharu, ia tidak sama seperti barisan pelakon senior yang lebih mementingkan budi bahasa.

“Saya kagum dengan artis muda yang lebih menghormati dan menegur saya apabila bertemu, berbanding dengan segelintir pelakon sibuk dengan hal sendiri.

“Pada pendapat saya, sikap sebegitu tidak menjadikan mereka lebih popular dan menjadi perhatian. Jadi, nasihat saya kepada mereka belajarlah menghormati orang lain terutama artis senior yang lebih dulu menempa nama dalam industri hiburan, ” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Noor berkata, sebagai individu yang mencari rezeki dalam mana-mana cabang seni, aspek hormat-menghormati perlu sentiasa diterapkan.

Malah, Noor yang juga penyanyi popular menerusi lagu Mata dan Hati Seorang Kekasih itu menjadikan nasihat daripada keluarganya sebagai azimat untuk terus bertahan dalam dunia seni.

“Kita perlu hormat manusia tidak kira tua atau muda. Sebagai contoh, saya ambil nasihat bapa saya iaitu biar orang cakap mengenai kita, tapi kita jangan cakap mengenai orang lain

“Keluarga saya juga selalu mengingatkan industri seni ini banyak naik dan turunnya. Kalau ada orang yang buat tidak baik kepada kita, abaikan saja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Noor berkata, kehidupannya kini dirasakan lebih tenang selepas mengambil keputusan untuk berhijrah sejak beberapa tahun lalu.

“Saya dan suami selalu ke masjid setiap waktu dan rutin harian kami sama saja seperti orang lain. Cuma, apa yang saya boleh katakan, kehidupan saya ketika ini terasa lebih menenangkan,” katanya.

Sumber : Harian Metro