Majakelat Juara Mega Spontan 2023, Bawa Pulang RM200,000

Foto : Kosmo

Kumpulan Majakelat menjuarai program Mega Spontan 2023 yang  berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan kumpulan yang dianggotai Adlin Aman Ramli, Mamat Sepah, Sanjna Suri, Joey Daud dan Oky Danial membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000 berserta trofi sekali gus mengenepikan Srivijanda.

Mengungguli gelaran Raja Kerajaan Takhta Nusantara, Majakelat yang dibimbing pelawak Zizak Razak sebagai mentor meraih 51.87 peratus undian

Manakala pasukan lawan, Srivijanda yang kalah tipis terpaksa berpuas hati menduduki tempat kedua dengan undian sebanyak 48.13 peratus.

Bagaimanapun, kumpulan yang dibimbing aktor Kamal Adli itu tidak meraih sebarang wang tunai.

Keputusan adalah bersandarkan undian barisan juri bersama penonton di studio dan di rumah secara 50-50.

Malam kemuncak itu turut menyaksikan Joey memenangi wang tunai RM10,000 menerusi gelaran ‘Man of the match’ yang dinilai berdasarkan prestasi keseluruhan musim ini.

Selaku Game Master yang menilai persembahan, Datuk Afdlin Shauki berkata, pertembungan dua kumpulan itu di pentas akhir cukup sengit, namun Majakelat menonjolkan transisi garang dengan pecutan pada saat akhir.

“Kalau lihat dari minggu pertama Majakelat lambat panas, tetapi kita boleh nampak beberapa minggu terakhir mereka semakin menyerlah dan kemenangan menjadi milik mereka.

“Namun, Srivijanda juga bukan calang-calang apabila memberikan cabaran luar biasa dengan mendahuhui beberapa cabaran malam ini,” katanya dalam sidang media.

Sepanjang lapan minggu pertandingan bermula 19 Mei lalu, empat kumpulan mewakili ‘kerajaan’ yang pernah terkenal di nusantara suatu ketika dahulu dibentuk untuk bersaing.

Bagaimanapun, kumpulan Langkataksuka dan Campaktakjauh gagal bertahan apabila terkeluar lebih awal.

Dikemudikan Sherry Alhadad dan Amir Raja Lawak, Mega Spontan disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 107) pada setiap Jumaat. 

Sumber : Kosmo