Ketengahkan Bakat Orang Asli Dalam ‘Asli Battle Of The Bands’

Foto : Utusan Malaysia

SHAH ALAM – Pertandingan Asli Battle of the Bands (ABOTBA) yang bakal diadakan di seluruh Selangor pada Ogos depan bertujuan mengetengahkan bakat masyarakat etnik Orang Asli.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan itu bakal memulakan sesi ujibakat pada 26 Ogos ini di 74 Kampung Orang Asli seluruh Selangor.

Menurut pengerusinya, Borhan Aman Shah, idea tersebut tercetus bagi menonjolkan bakat nyanyian dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang terkenal dengan identiti dan etnik tersendiri.

“Buat pengetahuan semua, masyarakat Orang Asli mempunyai kugiran di setiap kampung mereka. Ada lagu yang sangat popular dalam kalangan mereka cuma ia kurang diketengahkan.

“Tambahan pula lagu dan nyanyian mereka sangat unik kerana Orang Asli mempunyai budaya dan identiti tersendiri. Program ini diharap menjadi platform untuk mereka menonjolkan bakat.

“Kami akan menjelajah ke lima daerah yang mempunyai penempatan Orang Asli seperti di Hulu Selangor, Gombak dan Petaling, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Sepang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Biro NGO dan Belia Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, Syahrizal Ismail berkata, setiap peserta perlu menyediakan dua buah lagu semasa ujibakat. Satu lagu saduran manakala satu lagi lagu masyarakat Orang Asli.

“Bagi menguar-uarkan pertandingan ini, kami menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor(Jakoa) untuk memaklumkan perkara ini di perkampungan Orang Asli.

“Uji bakat akan dijalankan di lima daerah bermula 26 Ogos ini. 10 kugiran terbaik dalam kalangan orang asli akan berentap di pentas akhir yang akan berlangsung pada 22 September 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam,” tambahnya yang menyasarkan 200 peserta untuk program ini.

Penyanyi dan komposer, Korie Aminuddin dilantik sebagai ketua juri. Manakala juri jemputan daripada masyarakat Orang Asli juga akan diundang untuk mengadili pertandingan akhir.

Persembahan tarian kebudayaan Orang Asli juga akan dipersembahkan di malam kemuncak di samping penampilan istimewa artis undangan, Kaka Azraf.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM3,500 dan sijil penyertaan. Tempat kedua layak mendapat RM2,000 dan ketiga sebanyak RM1,000 bersama sijil penyertaan. Tempat saguhati akan memperoleh RM300 bersama sijil .

Sumber : Utusan Malaysia