Filem seram tempatan, Tiger Stripes , arahan Amanda Nell Eu melakar sejarah apabila memenangi hadiah utama di Semaine de la Critique (Cannes Critics’ Week) yang merupakan acara sampingan sempena anugerah berprestij dunia, Festival Filem Cannes.
Nell Eu membawa pulang wang tunai RM49,400 sekali gus menjadikannya pengarah wanita pertama dari Malaysia yang berjaya meraih kejayaan sebegitu, lapor Utusan Malaysia.
Tiger Stripes juga menjadi filem Malaysia pertama yang layak menerima undangan ke festival tersebut dalam tempoh 13 tahun selepas Kaki Bakar ( U-Wei Saari), Karaoke (Chris Chong Chan Fui) dan The Tiger Factory (Woo Ming Jin).
Tiger Stripes menceritakan tentang Zaffan lakonan Zafreen Zairizal, seorang gadis berumur 13 tahun yang baru sahaja mengenal sisi yang dianggap menakutkan tentang tubuhnya.
Zaffan dipulaukan oleh masyarakat kerana dianggap pelik. Selepas membuat keputusan untuk melawan rasa takut dan menerima semua keanehan tentang dirinya, Zaffan muncul sebagai seorang wanita yang kuat.
Proses pembikinan filem tersebut sudah dimulakan pada tahun 2018 dan melalui beberapa fasa penambahbaikan sejak dua tahun lalu.
Filem itu menampilkan pendatang baharu, Zafreen Zairizal, Deena Ezral dan Piqa selain nama-nama besar, Shaheizy Sam dan Fatimah Abu Bakar.
Sumber : Utusan Malaysia