Cat Farish Dan Shikin Maembong Sah Suami Isteri

Foto : Kosmo

Selepas tiga bulan menyulam cinta, penyanyi dan komposer, Cat Farish sah dan pelakon, Shikin Membong sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 9.07 malam tadi.

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 49, dan Shikin atau Siti Nur ‘Ashikin Ismail, 40, diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Setapak, dengan mas kahwin RM200.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Ibnu Abbas Taman Ibu Kota, Mohd Shukri Shafie berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong.

Pihak pengantin perempuan menyerahkan lima dulang hantaran dan berbalas tiga dulang daripada keluarga mempelai lelaki.

Shikin yang mengalirkan air mata sebak sebaik lafaz nikah disempurnakan ditemani puteri tunggalnya serta tiga anak Cat daripada perkahwinan terdahulu di pelamin.

Sementara itu, Cat pula bersyukur dia dan isteri tercinta selamat disatukan dalam majlis yang dihadiri ramai insan penting dalam hidup mereka.

“Walaupun asalnya kami hanya nak buat perkara wajib, Alhamdulillah malam ini majlis pernikahan kami menghimpunkan semua orang yang kami sayang.

“Doakan rumah tangga kami ini diberkati hingga ke akhir hayat. Ini permulaan yang indah buat kami dan anak-anak,” katanya.

Menurut pasangan yang memilih tema pernikahan dalam taman itu, mereka belum memilih destinasi bulan madu namun merancang mengerjakan umrah pada Oktober depan.

“Bulan madu belum lagi terfikir untuk ke mana-mana kerana Cat masih ada kerja yang perlu diselesaikan, cuma jika ada rezeki kami mahu mengerjakan umrah,” kata Shikin yang juga kakak kepada pelakon Emma dan Chacha Maembong kepada Kosmo! Online.

Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020, namun bercerai Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dia juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli tetapi berpisah pada April 2016. Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13 dan Qul Iskandar, 12.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 sebelum bercerai pada Jun 2016.

Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudian berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020, namun berpisah selepas dua tahun. 

Sumber : Kosmo