Wanita Didenda RM200 Biak Lima Ekor Jentik-Jentik

Foto : Kosmo

MELAKA – Seorang wanita didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membiak lima ekor jentik-jentik di dalam tayar terpakai di rumah sewanya, tiga tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Chua Ai Leng, 55, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, OKS didapati telah menimbulkan suatu keadaan yang boleh memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit, iaitu larva nyamuk Aedes Albopictus di dalam tayar di belakang rumah sewanya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.35 pagi di sebuah premis beralamat di Jalan Tun Tan Cheng Lock dalam daerah Melaka Tengah pada 23 Oktober 2020.

OKS didakwa di bawah Seksyen 13(1) dibaca bersama Seksyen 13(2), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan boleh didenda di bawah Seksyen 23(A) akta sama yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sabit kesalahan OKS boleh didenda sehingga RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, OKS merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga ibu yang sakit selain tidak menyedari kesalahan itu telah dilakukan oleh adiknya yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Raziah Nordin bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM200 atau tiga hari penjara jika gagal bayar. 

Sumber : Kosmo