Tanam 1.5 Kilogram Syabu Dekat Sawah Padi

Gambar hiasan | Gambar : Cari Destinasi

Seorang pengedar dadah menanam syabu di seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek, di Kota Marudu, Sabah, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun perbuatan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, pada 3 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan daerah ini, Tandek dan Pitas.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0 gram bernilai RM49,500.

Bungkusan berisi dadah syabu seberat 1.5 kilogram yang ditanam oleh suspek | Gambar : PDRM

“Hasil soal siasat terhadap suspek, membawa kepada penemuan 10 paket plastik lutsinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lutsinar saiz besar berisi dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Dadah syabu seberat 1,509.0 gram itu disembunyikan dan ditanam oleh suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Sumber : Harian Metro