Penyokong Patah Hidung Dakwa Dipukul Pada Final Piala FA

Foto : tergini.com

ISKANDAR PUTERI – Seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF), dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata lelaki yang berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi, semalam.

“Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil.

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

“Kes dalam siasatan, orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya).

Sumber : Berita Harian