Ringgit Dibuka Tinggi Selepas Tiga Hari Menyusut

Gambar : Malay Mail

RINGGIT mengakhiri penyusutannya selama tiga hari berturut-turut apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan pada Khamis berikutan kemerosotan dolar AS selepas data Indeks Harga Pengguna AS pada April yang dikeluarkan malam tadi adalah lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menokok kepada 4.4470/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4565/4605 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi AS menyederhana kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada April, lebih rendah berbanding anggaran konsensus sebanyak lima peratus.

Sementara itu, kadar inflasi teras berada pada 5.5 peratus, selari dengan ramalan konsensus.

“Pada umumnya, kadar inflasi AS adalah lebih rendah secara berperingkat selepas mencapai 9.1 peratus pada Jun tahun lepas, menunjukkan bahawa pendirian dasar monetari yang terbatas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menyebabkan inflasi meskipun melebihi sasaran dua peratus.

“Oleh itu, peluang untuk Kadar Dana Fed berhenti seketika semakin meningkat dan mengakibatkan kemerosotan dolar AS. Sehubungan itu, ringgit mungkin menokok berbanding unit negara maju hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.8877/8915 daripada 4.8830/8874 sewaktu ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3162/3190 daripada 3.2962/2994 semalam, namun lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6188/6232 daripada 5.6254/6305 sebelum ini.

Sumber : Bernama