Polis Buru Lima Lelaki Gaduh Guna Rotan

Foto : Kosmo

IPOH – Polis sedang mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di atas jalan dalam kejadian di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun di sini, kelmarin.

Video berdurasi 16 saat itu tular di media sosial dengan memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di atas jalan menggunakan senjata dipercayai rotan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan video tular itu sejak semalam melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang, kelmarin, melibatkan lima lelaki warga tempatan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu sekali gus mengenal pasti punca pergaduhan mereka.

“Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” katanya di sini hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.

Sumber : Kosmo