Polis Buru Lelaki Disyaki Melempar Bom

Gambar : Berita Harian

SEORANG lelaki dicari selepas videonya melempar objek dipercayai bom di sebuah restoran di kawasan Jalan Abdul Samad di sini tular di media sosial.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata bahawa kejadian berlaku kelmarin, lebih kurang 4.15 pagi.

Katanya pihak polis menerima laporan polis daripada pemilik premis yang juga lelaki warga tempatan, berhubung kejadian pada jam 5.27 pagi.

“Pengadu berusia 35 tahun memaklumkan mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga beberapa cermin tingkap premisnya pecah.

“Hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta berwarna gelap berhenti di pagar premis.

“Kelihatan suspek keluar dari kenderaan dan melempar satu objek ke tempat kejadian, “katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Raub, empat cermin tingkap pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya suspek seorang lelaki yang bangsanya tidak dikenalpasti.

“Polis masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat dibawah seksyen 435 kanun keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD JBS

07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nik Mohamad Amirul Fikrie 011-35202900, “katanya.

Sebelum itu, tular dua video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan tindakan lelaki terbabit yang membaling objek sebelum berlaku letupan.

Sumber : Harian Metro