Pihak Berkuasa Digesa Supaya Ambil Tindakan Tegas Terhadap Penternak Yang Biarkan Lembu Ceroboh LPT 2

KEMAMAN – Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap penternak yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di lebuh raya berkenaan.

Tinjauan dari Plaza Tol Chukai hingga ke Plaza Tol Dungun, mendapati terdapat lembu yang dibela penternak menceroboh serta meragut rumput di tepi lebuh raya walaupun pagar dibina pihak konsesi lebuh raya.

Salah seorang pengguna, Mohd. Fazli Adam, 35, dari Kuantan, Pahang, berkata, sikap tidak bertanggungjawab tersebut bukan hanya membahayakan pengguna jalan raya, malah boleh mengundang kemalangan jiwa.

“Saya sering guna lebuh raya ini untuk berulang alik pulang ke rumah di Setiu setiap hujung minggu, memang pernah beberapa kali terserempak dengan lembu yang sedang meragut rumput tepi lebuh raya.

“Pernah sekali, berhampiran kawasan Paka, dua hingga tiga ekor lembu berkeliaran atas jalan. Mujur saya ternampak lembu berkenaan dan sempat membrek kereta,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Shaiful Azlee Samsutee, 45, berkata, dia yang sering melalui lebuh raya berkenaan pada waktu tengah malam sering berhati-hati berikutan bimbang sekiranya haiwan ternakan berkeliaran di lebuh raya.

“Pada waktu malam, keadaan sejuk, haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau memang suka duduk atas jalan bertar untuk panaskan badan mereka.

“Pernah beberapa kali saya tengok lembu berkeliaran tepi lebuh raya. Kalau lembu berkenaan melintas jalan, memang tak sempat nak brek sebab keadaan gelap, memang tak nampak dari jauh,” katanya.

Bagi Shahniza Nadhirah Saiful, 22, pula, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan lebih tegas atau mewartakan akta tertentu terhadap pemilik haiwan ternakan yang cuai dengan membiarkan haiwan mereka berkeliaran hingga mengancam nyawa orang ramai.

“Isu ini bukan perkara baharu. Dah banyak kemalangan yang berlaku disebabkan terlanggar haiwan ternakan, hingga melibatkan kematian.

“Kalau kerajaan tidak bertegas dan tak ambil tindakan, penternak tidak akan sedar dan mereka memandang isu ini sebagai benda remeh, sedangkan dah banyak nyawa yang melayang ekoran sikap tidak bertanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam kejadian terbaru pada Ahad, seorang suri rumah putus jari manakala tiga anaknya termasuk bayi berusia enam bulan cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh seekor lembu dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 298 , berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal.

Sumber : Utusan Malaysia