Peruntukan RM2 Bilion Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3, Bakal Diterima Sebelum Raya Haji

SUMBANGAN Tunai Rahmah Fasa 3 dijangka disalurkan kepada penerima yang layak sebelum Aidiladha ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran itu membabitkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan akan memanfaatkan lebih lapan juta penerima.

“Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 yang melebihi RM2 bilion dan bilangan penerima lapan juta itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Haji, Insya-Allah.

“Dan juga e-Belia sebanyak RM200 membabitkan mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun akan disalurkan sebelum sebelum minggu ketiga bulan ini,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan dalam pendekatan serta tata kelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan dan kebocoran wang awam selain adakah kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Mengenai belanjawan untuk meringankan beban kos sara hidup, Anwar berkata, sehingga Mei ini sebanyak RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 dibelanjakan.

“Ini kapasiti terbaik suku tahun pertama dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. RM3 bilion bayaran fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah yang memanfaatkan lapan juta orang penerima.

“Selain itu, bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, RM3 bilion untuk subsidi elektrik, RM11 bilion subsidi produk petroleum dan RM800 juta bantuan awal persekolahan.

“Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta.

“Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang membabitkan ibu bapa, anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah,” katanya.

Sumber gambar – The Star | Sumber laporan – Harian Metro