Penyakit X Berisiko Cetus Pandemik Sekali Lagi, Ancam Populasi Manusia – WHO

PAKAR-pakar kesihatan awam memberi amaran mengenai sejenis wabak digelar Penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa berjuta-juta orang, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Istilah Penyakit X digunakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merujuk kepada penyakit baharu dari sudut perubatan yang mengancam populasi manusia.

Sebagai agen penyakit baharu, sama ada ia virus, bakteria ataupun fungus, Penyakit X pasti belum mempunyai vaksin, manakala cara merawatnya juga terhad, sekiranya ada.

“Ini bukan sains fiksyen. Ini senario yang kita perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. Ini ialah Penyakit X,” kata pakar Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik, Dr. Richard Hatchett kepada akhbar Telegraph.

WHO mencipta istilah Penyakit X pada 2018. Setahun kemudian, wabak mula merebak, dunia menyaksikan pandemik maut disebabkan oleh sejenis virus baharu di mana Penyakit X muncul dan ketika itu, ia dikenali sebagai Covid-19.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Penyakit X akan sekali lagi tercetus tidak lama lagi.

“Penularan wabak selesema burung H5N1 di Kemboja hanyalah satu contoh,” kata penyelidik Jabatan Kesihatan Antarabangsa Fakulti Kesihatan Awam Johns Hopkins, Dr. Pranab Chatterjee.

Sementara itu, sebilangan pakar kesihatan awam percaya bahawa Penyakit X yang seterusnya bersifat zoonotik iaitu berasal daripada haiwan domestik atau liar sebelum merebak kepada manusia.

Ebola, HIV/AIDS dan Covid-19 adalah contoh bagi wabak zoonotik.

Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, terdapat beberapa sumber lain termasuk bioterorisme yang boleh menjadi pencetus kepada Penyakit X.

“Kebarangkalian mengenai patogen ciptaan manusia sebagai punca pandemik juga tidak boleh diabaikan.

“Pelepasan patogen seumpamanya, sama ada menerusi kemalangan dalam makmal atau sebagai tindakan keganasan bio, boleh membawa kepada Penyakit X serta dinamakan sebagai risiko malapetaka global,” kata penyelidik sama. Artikel mengenainya diterbitkan dalam jurnal Infection Control & Hospital

Sumber gambar -MARCA | Sumber laporan – Kosmo Digital