Penghidap Darah Tinggi Paling Berisiko Pembuluh Darah Otak Pecah, Doktor Muat Naik Video Beri Penjelasan

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Seorang doktor perubatan yang dikenali sebagai Dr. Wan telah memuat naik sebuah video untuk menjelaskan kondisi yang mungkin dialami oleh Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dari sudut perubatan.

Bagaimanapun, Dr. Wan menegaskan bahawa video yang dimuat naik di Tiktok @drwanshare itu hanyalah untuk tujuan pembelajaran dan pengetahuan umum sahaja.

Video : DrWanShare

“Menurut laporan berita tempatan, Allahyarham mengadu pening, mual dan sakit kepala. Semua ini merupakan tanda-tanda pembuluh darah otak pecah dan beliau terus dikejarkan ke hospital sehinggalah doktor pakar sahkan Allahyarham mengalami pendarahan otak.

“Ada banyak salur darah di kawasan otak kita. Kalau salah satunya pecah atau bocor, sudah cukup untuk mengalami simptom seperti apa yang berlaku kepada Allahyarham,” jelasnya.

Menurut perkongsian sama, pendarahan pada kawasan otak boleh menyebabkan pesakit pening kepala, mual, muntah-muntah, pengsan dan kadangkala sawan. Ada juga yang mengalami simptom seakan-akan strok sehingga sebelah kawasan muka tidak dapat digerakkan.

“Pendarahan dalam otak juga dikenali sebagai ‘intracranial hemorrahage’. Dari segi simptom, kondisi ini boleh mencetuskan pelbagai tanda. Disebabkan otak kita mempunyai banyak salur darah, kondisi ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian otak.

“Ada juga yang tanya, bolehkah buat pembedahan untuk menangani masalah ini? Jangan lupa, tengkorak manusia keras. Pendarahan yang berlaku boleh menyebabkan tekanan pada otak. Tanpa pembedahan, banyak lagi komplikasi lain yang mungkin akan timbul,” katanya.

Jelasnya lagi, pembedahan sangat penting untuk mengelakkan pesakit daripada mengalami darah beku. Darah beku juga boleh menjadi toksik kepada tisu sekeliling otak dan boleh mendatangkan bahaya sekiranya tidak dibuang.

“Selalunya, individu yang mempunyai masalah darah tinggi yang kronik sangat berisiko untuk mengalami masalah pembuluh darah pecah pada kawasan otak,” jelasnya.

Kini, video tersebut telah mendapat 2,909 tanda suka dan 103 komen di laman TikTok.

Sumber : Kosmo