Pakej Haji Kian Meningkat, Bank Islam Tawar Pembiayaan Peribadi Untuk Bakal Jemaah

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan penyelesaian kewangan untuk bakal jemaah haji yang ingin mengambil pakej haji melalui 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) lantikan Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga ahli Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

Penyelesaian kewangan itu disediakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan Bumitra bertujuan melaksanakan kerjasama dan sesi perkongsian ilmu bagi mendidik pelanggan Bumitra mengenai penyelesaian kewangan yang disediakan oleh Bank Islam, terutamanya untuk haji dan umrah.

Memetik laporan Harian Metro, kerjasama itu juga merangkumi usaha untuk membantu penyebaran maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, penyediaan pakej pembiayaan peribadi ini memberi peluang kepada bakal haji berkemampuan dan berupaya untuk membayar balik pembiayaan secara berstruktur mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Menurutnya, memandangkan kos pakej haji kian meningkat disebabkan faktor luar kawalan, pembiayaan peribadi yang ditawarkan ini adalah tepat pada masanya untuk membolehkan lebih ramai lagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima.

“Sementara itu, peranan Bank Islam tidak hanya terhad sebagai hab solusi kewangan bagi jemaah haji semata-mata tetapi akan diperluaskan dengan menyeluruh kepada lebih 600 syarikat pelancongan yang berdaftar di bawah Bumitra dan pelanggannya,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, menurutnya antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di mana kad debit ini dilengkapi pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif untuk pemegang kad.

Selain produk Pembiayaan Peribadi dan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji, Bank Islam sebagai hab solusi kewangan bagi jemaah haji juga menawarkan produk lain seperti, akaun pelaburan Al-Awfar, kad kredit-i, produk perlindungan takaful, penulisan wasiat, kemudahan perbankan atas talian dan mudah alih serta tukaran mata wang asing di kaunter ‘Bureau de Change’ Bank Islam.

Menurutnya, kad ini juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah haji ketika berada di Arab Saudi, termasuk tiada caj akan dikenakan bagi pengeluaran tunai pada musim haji.

Sumber gambar dan laporan – Harian Metro