Padah Ingin Menunjuk Kekuatan Bunyi Ekzos, Sekumpulan Penunggang Motosikal Ditahan Polis Kerana Bising

Foto : Harian Metro

Tindakan sekumpulan penunggang motosikal berkumpul di Bukit Ampang, ingin menunjuk-nunjuk dan memperdengarkan bunyi bising ekzos masing-masing mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menjalankan Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 11 malam tadi di sekitar Jalan Ampang, Jalan Putra dan Bukit Ampang Saujana.

Katanya, pihaknya menyita 23 motosikal Yamaha LC135, Yamaha 125Z dan Yamaha Lagenda 110 yang ditunggang remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun.

“Semua motosikal ini disita kerana pengubahsuaian ekzos, tiada brek belakang serta penunggang yang tidak mempunyai lesen.

“Kebanyakan alasan diberi mereka yang datang ke Ampang semata-mata mahu ke Bukit Ampang kerana ingin menunjuk kepelbagaian bunyi letupan ekzos serta boleh mengeluarkan percikan api sebelum singgah untuk makan,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, tindakan sitaan itu dibuat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.

“Semua motosikal yang disita dibawa ke Balai Trafik IPD Ampang untuk proses panggil pemilik dan tindakan tukar serta merta struktur kenderaan yang diubah suai.

“Operasi selama enam jam itu turut mengeluarkan 164 saman atas pelbagai kesalahan trafik seperti nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’, tiada cermin sisi serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan individu yang diperiksa dalam operasi itu bukan berasal dan tinggal di kawasan Ampang termasuk dari Cheras, Sungai Buloh, Gombak, Rawang dan Kajang.

“Operasi ini dijalankan bertujuan membendung aktiviti tidak sihat terutama dalam kalangan remaja.

“Perbuatan tidak berfaedah ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam dan penduduk setempat malah turut mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sumber : Harian Metro