Makmal Dadah Diserbu, 6 Termasuk Dua Beradik Ditahan

Foto : Kosmo

Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dengan penahanan enam lelaki termasuk dua beradik dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan Jelapang, kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, polis merampas 155 gram methamphetamine, heroin seberat 52.3 gram dan 47,580 mililiter cecair disyaki methamphetamine dengan jumlah seluruhan bernilai RM672,649.

Serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan berusia dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput, pengawal keselamatan, penjaga kolam ikan selain pengganggur memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Kumpulan itu juga didapati aktif melakukan kegiatan memproses dadah sejak awal tahun ini dan dadah tersebut diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar, di Ipoh, hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah lori dan empat buah motosikal dengan nilai sitaan berjumlah RM76,000.

Katanya, berdasarkan siasatan, bahan kimia yang digunakan untuk aktiviti itu diperoleh dari utara tanah air dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 180,000 penagih dadah.

“Kesemua suspek direman direman tujuh hari mulai kelmarin hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa polis.

“Dalam kebanyakan kes sebelum ini, kita merampas dadah siap diproses sama ada dalam bentuk ketulan atau biji.

“Kali ini kita berjaya tumpaskan sindiket yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan rampasan melibatkan bahan cecair yang belum diproses sebagai dadah yang lain,” katanya.

Sumber : Kosmo