Mahkamah : Seorang Lelaki Didakwa Sebabkan Kematian Teman Wanita

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kacukan Kanada didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya di sebuah kondominium dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Sean Edward Kenneth Quinn, 30, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu, di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang pereka grafik itu didakwa menyebabkan kematian Nurin Najmina Mohd. Radzuan, 24, di unit sebuah kondominium di Jalan Damansara, Bukit Kiara di sini, pukul 3 pagi pada 12 Julai lalu (2023).

Berikutan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan manakala tertuduh diwakili peguam, Vivek Sukumaran.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 25 September depan.

Sumber : Kosmo