Lebih Tiga Juta Kenderaan Dijangka Guna KLK, LPT1 Semasa Aidilfitri

Gambar Hiasan

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1),  Anih Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya berkenaan sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke pantai timur mengalami peningkatan bermula dari 19 hingga 21 April ini.

Menurutnya, kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei depan.

“Hari ini (Sabtu), kita menerbitkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bermula dari 19 April sehingga 1 Mei memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Buruh.

“Pengguna lebuh raya sudah pasti akan mengambil peluang cuti yang panjang ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung dan menziarahi sahabat handai.

“Pihak kami berharap pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan kepada lebih tiga juta kenderaan di KLK dan LPT1,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, edaran TTA akan dijalankan di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini selain membuat hantaran di laman sosial Anih Berhad sebagai rujukan pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, Radzimah memberitahu, pihaknya menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol sebagai usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini.

Sumber & Gambar : Sinar Harian