Konsert IPTA Langgar Garis Panduan Hiburan Di Terengganu Disiasat

Foto : Kosmo

Kerajaan negeri Terengganu akan menyiasat dakwaan penganjuran konsert hiburan yang dikatakan keterlaluan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini.

Memetik laporan Kosmo, konsert melibatkan pencampuran lelaki dan perempuan itu didakwa melanggar Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, siasatan akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap penyebaran video konsert berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di dalam kawasan kampus.

“Tidak sepatutnya berlaku kerana garis panduan (hiburan) bukan perkara baharu di Terengganu.

“Walaupun berlaku di dalam kawasan persendirian sekalipun, kena ikut garis panduan tersebut kerana ia dasar kerajaan negeri (Terengganu),” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas penyebaran video konsert tersebut yang berdurasi 37 saat di media sosial sejak pagi tadi.

Video tular itu memaparkan kelibat lelaki dan wanita dipercayai pelajar IPTA berkenaan berhibur menonton konsert terbabit sambil menari beramai-ramai.

Sementara itu, pejabat naib canselor IPTA yang dihubungi memberitahu siasatan dalaman berhubung isu tersebut sedang dilakukan.

Sumber : Kosmo