Kerja Terowong ECRL Punca Mendapan Di Bentong

Foto : Kosmo

KUALA SELANGOR – Mendapan tanah di Kilometer 66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Bentong di Pahang dekat sini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, punca awal itu dikenalpasti dilakukan pihaknya dengan beliau berpuas hati dengan tindakan segera dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya telah meninjau pagi tadi dan pada peringkat awal, kita difahamkan pembinaan terowong rel (ECRL) dibawah jalan itu.

“Saya difahamkan pukul 7 petang ini sudah boleh digunakan semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan Seksyen 6, Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) hari ini.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) berdasarkan laporan awalan pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) memaklumkan akibat runtuhan terowong ECRL 2 telah menyebabkan tanah mendap seluas 9.5 meter (m) lebar x 10 m panjang x 4.3 (m).

Kata KKR, mendapan itu berlaku di atas terowong iaitu di laluan timur Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak yang berada 13 meter di atas terowong itu.

“Pihak kontraktor telah pun mengambil tindakan dengan menimbus kawasan mendapan dengan konkrit sejak malam tadi.

“Kerja-kerja turapan akan dimulakan sejurus selepas konkrit keras,” ujarnya.

Jelas KKR, bagi langkah pembaikan jangka panjang satu siasatan menyeluruh akan dilaksanakan kementerian menerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia dengan kerjasama terlibat.

Terdahulu, mendapan yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tersebut telah menyebabkan penutupan kedua-dua arah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Sumber : Kosmo