Kanak-Kanak 13 Tahun Pandu Kereta Bersama Ibu Dan Rakan Ditahan

Gambar hiasan | Foto : WapCar

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang memandu kereta bersama ibu dan rakannya ditahan polis dalam kejadian di Machang Bubok dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah SPT telah mengesan satu rakaman video berdurasi 32 saat yang tular di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta telah ditahan oleh orang awam di Jalan Rozhan, Machang Bubok pada jam 3 petang.

“Susulan itu, pihak polis telah berjaya menahan tiga individu di hadapan Flat Taman Machang Bubok iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun dipercayai pemandu bersama seorang wanita berumur lewat 40-an iaitu ibu pemandu dan seorang rakan pemandu, 13, yang juga berada dalam kenderaan.

“Mereka ditahan orang awam di tengah jalan selepas dipercayai membawa kenderaan itu sejauh 4 kilometer.”

“Sebuah kereta (Proton Iswara Aeroback) yang digunakan dalam kejadian itu juga turut ditahan. Polis masih mengesan rakan-rakan suspek yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3.

Pihak polis juga telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman ke atas pemandu motokar terbabit di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya.

Satu lagi saman juga dikeluarkan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan motor di bawah umur yang mana, jika disabitkan kesalahan boleh di denda tidak melebihi RM2000 atau penjara selama tempoh
tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

Pemilik motokar iaitu ibu suspek juga disaman di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

Motokar tersebut juga telah disita untuk membantu siasatan.

“Pihak PDRM menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan saja boleh membahayakan diri kanak-kanak tersebut, tetapi ia juga membahayakan nyawa pengguna jalanraya yang lain,” tambahnya.

Sumber : Buletin TV3