Jagalah Adab Dan Akhlak Ketika Berada Di Jalanraya, Tak Perlu Bergaduh

Sebagai pengguna jalan raya, adab dan akhlak perlu dijaga agar dapat mengelakkan diri daripada terbabit kejadian buruk, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas isu video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai mengasari seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar, Tapah, Perak baru-baru ini, beliau berkata pengguna jalan raya harus sentiasa mengamalkan adab yang baik dan jangan sesekali terbabit dalam pergaduhan.

“Kita bercakap mengenai membina ‘Masyarakat Madani’, asasnya adalah adab dan akhlak. Sebab apa yang kita hendak bina (Masyarakat Madani) ini adalah masyarakat sejahtera, tidak ada pergaduhan.

“Kalau sesuatu perkara yang terjadi itu biarlah diselesaikan dengan cara yang baik.

“Sekiranya kita dapat bersabar, dan mengingati adab serta peraturan itu harus dipatuhi, jadi cita-cita kita untuk membina masyarakat Madani yang bertamadun akan dapat dicapai, ” katanya ketika ditemui Harian Metro di majlis ulang tahun ke-30 Kumpulan Rangkaian Restoran Antarabangsa D’ Tandoor, di Kuala Lumpur.

Semalam, tular di media sosial video seorang lelaki dipercayai mengasari seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah.

Susulan insiden berkenaan, lelaki berusia 29 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sumber : Harian Metro