Pempengaruh media sosial yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, di Alor Setar awal pagi semalam dikenakan empat tindakan saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Lelaki berusia 23 tahun yang juga ikon permotoran itu merupakan antara 284 individu yang ditahan dalam operasi antara pukul 11 malam semalam hingga 3 pagi.
Dia dikatakan singgah di situ untuk menonton perlumbaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, individu terbabit didapati melakukan pengubahsuaian pada paip ekzos.
“Tiga lagi kesalahan adalah tiada cermin sisi kiri dan kanan, tiada peti rantai serta nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pempengaruh media sosial yang ditahan bersama sekumpulan remaja lain dikenakan empat tindakan saman Pol 257 atas pelbagai kesalahan trafik.
Hasil intipan dan pemantauan hampir dua jam kemudiannya membawa kepada penahanan 284 motosikal yang mana kepungan secara menyeluruh dari setiap sudut Jalan Pegawai menyebabkan penunggang motosikal gagal meloloskan diri.
Sumber : Kosmo