Faiza Elakkan Rasuah, Mahu Bangunkan Budaya Integriti Dalam Syarikat

Foto: Kosmo

Syarikat Faiza Sdn Bhd memperkenalkan beberapa polisi antirasuah bagi membangunkan budaya integriti dalam kalangan kakitangannya.

Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Faiza Sdn Bhd, Rosli Ahmad berkata, antara yang terkandung dalam garis panduan itu adalah, kakitangan perlu mengelakkan budaya memberi hadiah atau habuan kepada wakil organisasi atau syarikat besar yang membeli beras daripada syarikat mereka.

Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya turut mengelakkan syarikat yang membekalkan sebarang barangan yang dibeli oleh Syarikat Faiza memberi habuan atau hadiah kepada kakitangannya.

“Jadi syarikat jelaskan bahawa kita menolak perlakuan rasuah, selaras dengan komitmen kami ke arah merealisaikan matlamat Malaysia bersih daripada rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, polisi dan garis panduan itu disediakan dalam bentuk manual (buku yang mengandungi panduan dan maklumat untuk melakukan sesuatu) yang mana kakitangan perlu membacanya dan perlu menurunkan tandatangan sebagai komitmen untuk mengelak daripada melakukan perbuatan rasuah.

Sementara itu, menyentuh mengenai rutin pekerjaan di syarikat berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian rasuah, Syarikat Faiza telah menggariskan beberapa amalan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Kita akan memastikan staf mengikut SOP, perlu adanya semak dan imbang setiap pekerjaaan yang dilakukan antara pekerja dan ketua.

“Contoh antara pegawai jualan yang membuat kutipan dipantau oleh kawalan kredit pejabat. Penghantaran barang oleh pemandu dan kelindan dipantau, sebelum keluar dan barang yang turun dipastikan diserahkan kepada pelanggan dan barang sentiasa dikira kuantitinya,” katanya.

Syarikat Faiza Sdn Bhd adalah syarikat bumiputera Muslim yang telah ditubuhkan sejak tahun 1982 lagi.

Syarikat tersebut sangat terkenal dengan produk beras sehingga disebut-sebut sebagai Beras Faiza.

Selain daripada beras, Syarikat Faiza juga merupakan pengeluar produk makanan lain seperti bihun, sos cili, rempah, kicap, bubur herba dan bermacam-macam lagi.

Sumber: Kosmo