Empat Mat Rempit Ditahan Kerana Memukul Polis Sedang Bertugas

SEORANG anggota polis dipukul oleh sekumpulan Mat Rempit ketika sedang menjalankan tugasan Op Selamat ke 20 di Kilometer 7 Jalan Kulai – Kota Tinggi di sini pada Hari Raya Ketiga, Ahad lalu.

Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata bahawa laporan polis telah dibuat mangsa pada jam 3.04 petang pada hari kejadian.

Katanya bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan Johor Bahru, kelmarin.

“Sepasukan Pegawai dan Anggota dari Bahagian Siasatan jenayah IPD Kulai membuat serbuan di dua lokasi berasingan dan menahan empat suspek warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun.

“Hasil siasatan awal keempat-empat suspek mengaku terlibat dalam kejadian merusuh dan perlumbaan haram.

“Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Sumber : Buletin TV3 | Gambar : Borneo Today