Bekas Pengedar Dadah Menangis, Besyukur Nyawa Tidak Berakhir Di Tali Gantung

SEORANG lelaki menangis kegembiraan selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah lebih 10 tahun lalu.

Sebaliknya, anak kelahiran Felda Keratong, Rompin yang berusia 45 tahun itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 14 tahun dan 20 sebatan selepas berjaya dalam rayuannya.

Memetik laporan Sinar Harian, lelaki yang mahu dikenali Aidil mengakui menyesal dengan kesalahan pernah dilakukan kerana terlalu kejarkan pendapatan lumayan hasil daripada penjualan dadah.

“Saya terlalu ikutkan perasaan mahu banyak duit, hingga lupa hukuman berat yang bakal menunggu selepas ditahan polis pada 2018.

“Saya boleh sahaja melarikan diri melalui pintu bahagian dapur rumah, namun tidak berbuat demikian kerana memikir nasib rakan yang berada dalam bilik. Saya akhirnya mengaku dadah jenis heroin seberat 249 gram dan 100 gram syabu yang disimpan dalam bilik milik saya.

“Selepas itu, saya dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati, selepas rayuan dibuat saya hanya dikenakan hukuman 14 tahun penjara dan 20 sebatan,” katanya yang kini antara banduan baju biru (banduan peringkat khas).

Menceritakan kembali kisah hitam, Aidil berkata, selain menjual dadah di kawasan Felda Keratong, Rompin, permintaan di beberapa daerah di Johor turut diterimanya.

Dia yang bermula sebagai penagih sejak remaja memberitahu, aktiviti penjualan dadah dilakukan selepas dipelawa oleh individu untuk menjadi pengedar dengan menjanjikan pendapatan lumayan selain untuk kegunaan sendiri.

Sumber : Sinar Harian | Gambar : Vocket