Wanita upah imam RM26 mohon doa suami kena bala

SEORANG imam di sebuah masjid di Iskandariah, Mesir terkejut apabila seorang wanita meminta dirinya mendoakan sesuatu untuk suaminya ketika menunaikan solat terawih. Wanita yang tidak diketahui identiti itu turut memberikan ganjaran sebanyak 100 Pound Mesir (RM26.17) sebagai ganjaran.

Menurut laporan Gulf News, difahamkan seorang kanak-kanak datang kepada imam tersebut semasa terawih. Kanak-kanak tersebut diminta oleh ibunya untuk menyerahkan sehelai kertas kepada imam tersebut.

Ketika imam tersebut membuka lipatan kertas, dia menemukan sejumlah duit bersama pesanan yang tertulis, “Tolong doakan suami saya, saya dengar suara kamu ketika berdoa. Suaramu sangat lembut dan manis, pasti Allah akan mendengar doa kamu”.

…Suami saya telah berkahwin dengan wanita lain. Saya mohon anda berdoa dari lubuk hati supaya dia ditimpa bala. Ini 100 Pound untuk anda dan jika imam semakin banyak awak mendoakan dia, lebih banyak wang yang akan diterima”, menurut nota wanita itu.

Walau bagaimanapun, imam itu mengatakan bahawa dia kurang senang dengan tindakan wanita tersebut, kemudian mengambil gambar nota tersebut dan ia tular di media sosial.