Saudi Dan UAE Kutuk Serangan Israel Terhadap Masjid Al-Aqsa

Kementerian Hal Ehwal Luar Arab Saudi mengecam tindakan jahat dan kejam tentera Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada Rabu, 5 Mac 2023, menyerang dan mencederakan sekurang-kurangnya 12 jemaah dan menangkap kira-kira 350 yang lain.

Memetik laporan Harakah Daily, kementerian itu menyatakan kecaman dan penolakan kerajaan Saudi’ terhadap penyerbuan secara terang-terangan di pekarangan Masjid Al-Aqsa dalam bulan Ramadan.

“Amalan ini melemahkan usaha damai, dan kerajaan menegaskan semula kedudukan teguhnya dalam menyokong semua usaha yang bertujuan untuk menamatkan pendudukan dan mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk perjuangan Palestin,” tambah wakil dari kementerian tersebut.

“Tindakan sedemikian melanggar prinsip dan norma antarabangsa mengenai penghormatan terhadap kesucian agama,” kata wakil itu.

Polis Israel menyerang berpuluh-puluh jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis sebelum subuh pada 5 Mac, selepas menyerbu masuk masjid berkenaan.

Insiden itu mencetuskan bantahan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan tentera Israel berkata sembilan roket dilepaskan dari Gaza ke arah Israel selepas siren berbunyi di bandar-bandar selatan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengutuk sekeras-kerasnya penyerbuan masjid Al-Aqsa oleh polis Israel.

“UAE menyeru pihak berkuasa Israel untuk menghentikan peningkatan dan mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan dan ketidakstabilan di rantau ini,” kata kementerian luar negara itu dalam satu kenyataan.

Jordan dan Mesir, dua negara yang juga terlibat dalam usaha yang disokong AS baru-baru ini untuk meredakan ketegangan antara Israel dan Palestin, turut mengeluarkan kenyataan berasingan mengutuk insiden itu.

Gambar : Berita Harian | Sumber : Harakah Daily