Pendaki Dari China Yang Pengsan Di Gunung Everest Tak Ucapkan Terima Kasih Dan Enggan Membayar Malim Gunung Setelah Diselamatkan

Foto : Harian Metro

Pendaki dari China, baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan enggan membayar malim gunung AS$10,000 (kira-kira RM46,205) selepas dia diselamatkan berikutan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di Gunung Everest.

Oddity Central melaporkan, pada 18 Mei lalu pendaki gunung China, Fan Jiangtao terjumpa seorang wanita yang tidak sedarkan diri dalam lingkungan 50-an.

Wanita itu dilaporkan sudah sampai ke puncak dan dalam perjalanan pulang ke kem pangkalan sebelum mengalami masalah kesihatan.

Fan dan malim gunung yang tidak dinamakan memutuskan untuk meninggalkan matlamat mereka untuk menakluk Everest bagi membawa Luo kembali ke kem pangkalan dengan selamat.

Dalam perjalanan turun, mereka bertemu Xie Ruxiang, ahli Persatuan Pendakian Gunung Wilayah Hunan, yang juga meninggalkan pendakiannya untuk membantu.

Malim gunung bagaimanapun keberatan untuk menyertai mereka tetapi Xie berjanji membayar AS$ 10,000 (kira-kira RM46,205).

Operasi menyelamat berjalan lancar, dan selepas dirawat selama beberapa hari di kem pangkalan, wanita itu pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, apabila wanita itu dapat tahu malim gunung itu dijanjikan wang untuk membantu menyelamatkannya, dia enggan membayar.

Menurut Fan Jingtao, wanita itu hanya sanggup membayar AS$4,000 (kira-kira RM18,482) daripada AS$ 10,000 (kira-kira RM46,205) yang sudah dijanjikan kepadanya.

“Apa yang dia cakap membuatkan saya marah. Saya memberitahunya: ‘Oleh kerana itu adalah sikap awak, saya tidak mahu satu sen pun daripada awak. Anda tidak perlu memberi saya sebarang wang!,” katanya kepada South China Morning Post (SCMP).

Fan berkata, “Saya sudah bersedia untuk mendaki Gunung Everest selama 40 hari dan membelanjakan 400,000 yuan (kira-kira RM258,276) untuk mencapai matlamat ini.

“Saya sanggup melupakan rancangan saya untuk mencapai kemuncak malah membayar kos menyelamat itu. Saya tidak tahu untuk kata apa lagi.

“Saya tidak tahu kenapa dia enggan bayar. Xie dan saya merasa kesal berhubung perkara ini. Sehingga kini dia tidak mengucapkan terima kasih kepada kami. Dia sangat tidak mengenang budi. Kami tidak mahu mempunyai sebarang kaitan dengannya lagi,” kata Fan kepada South China Morning Post (SCMP).

Sumber : Harian Metro