PMX kagum, filem Sheriff Narko Integriti beri impak luar biasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kagum dengan penerbitan filem aksi tempatan, Sheriff Narko Integriti yang disifatkan sangat bermutu tinggi.

Perdana Menteri melalui satu hantaran di Facebook menyatakan, beliau secara peribadi kagum dengan prestasi, jalan cerita, lakonan dan pengarahan termasuk dialog dan aksi yang ditampilkan dalam filem itu.

“Kalau inilah prestasi yang kita capai maka, masa depan dunia perfileman Melayu itu sangat cerah.

“Saya dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diundang untuk tengok keupayaan filem ini kerana mereka cuba yakinkan saya kata ada mesej,” katanya selepas menonton tayangan khas filem Sheriff Narko Integriti di IOI City Mall Putrajaya.

Jelasnya, kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan akan memberi seluruh kerjasama dalam penghasilan filem tempatan bermutu tinggi sekali gus menggalakkan daya cipta dan kreativiti.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan akan kekal mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya anak-anak seni, dan ia mesti disemarakkan.