Kuala Lumpur – Konsert reunion kumpulan Elite yang bakal berlangsung pada 20 September ini di Plenary Hall, KLCC mula mencuri perhatian ramai, bukan sahaja kerana kemunculan semula kumpulan popular era 90-an itu, tetapi juga perbincangan hangat tentang harga tiket yang diumumkan.
Dengan struktur harga bermula dari RM238 hingga RM1088 untuk zon eksklusif, ada yang menyuarakan kebimbangan tentang kemampuan sebahagian peminat. Namun di sebalik perbincangan tersebut, masih ramai yang tampil memberikan sokongan penuh, menyifatkan ini sebagai satu peluang istimewa untuk menyaksikan semula kumpulan yang pernah mewarnai zaman remaja mereka.
Sebagai peminat setia Elite, ramai yang percaya bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghargaan kepada legasi muzik tempatan. Pihak penganjur pula menjanjikan sebuah pengalaman luar biasa yang setanding konsert bertaraf antarabangsa dari aspek produksi pentas, pencahayaan, penampilan eksklusif hingga susunan muzik yang segar dan moden.
“Kami mahu tampilkan sebuah persembahan yang epik, bukan sekadar nostalgia. Elite pun dah berlatih berbulan-bulan untuk pastikan konsert ini jadi satu momen bersejarah buat peminat,” kata Iman Tang, selaku penganjur.
Elite sendiri tampil dengan niat yang sangat ikhlas untuk menjayakan konsert ini, khusus buat para peminat setia mereka yang digelar Elite Warrior. Mereka menganggap konsert ini sebagai hadiah istimewa kepada semua yang pernah menyokong mereka sejak dahulu, dan berharap agar semua pihak dapat memberi kata-kata semangat serta menyimpan komen negatif demi menjaga semangat pasukan produksi dan para artis.
“Ini pengalaman pertama kami beraksi di pentas berprestij seperti Plenary Hall KLCC. Kami amat menghargai setiap sokongan, lebih-lebih lagi dalam bentuk kata-kata positif yang memberi kekuatan kepada kami untuk memberikan yang terbaik,” kata anggota Elite dalam satu kenyataan bersama.
Satu lagi topik yang turut dibincangkan ialah jumlah lagu popular Elite yang dikatakan terhad. Namun, menurut Iman, konsert ini merupakan pentas terbaik untuk memperkenalkan semula lagu-lagu lain dalam katalog mereka yang sebelum ini kurang mendapat perhatian. Dengan sokongan radio rasmi serta kuasa media sosial seperti TikTok, lagu-lagu lama itu diyakini mampu mencipta semula fenomena.
“Kami percaya dengan platform yang betul dan sokongan peminat, lagu-lagu Elite boleh mendapat nafas baru dan dikenali semula oleh generasi sekarang,” tambahnya.
Sebagai masyarakat, kita juga memainkan peranan penting dalam menyokong industri hiburan tanah air. Memberi komen yang positif, membeli tiket secara sah dan menyokong usaha artis tempatan adalah antara cara kecil yang mampu memberikan impak besar. Kejayaan artis senior seperti Elite akan menjadi inspirasi buat bakat-bakat baru untuk terus percaya dengan perjuangan seni mereka.
Konsert Elite dijangka menjadi antara acara yang paling dinanti tahun ini bukan sahaja oleh peminat lama, tetapi juga mereka yang ingin merasai semangat muzik 90-an yang dibawa dengan sentuhan moden.