Tragedi maut angkara keracunan karbon monoksida, bapa mahu tunaikan hasrat terakhir arwah

DIA pernah memberitahu bapanya untuk membeli kereta idaman iaitu Proton X50.

Namun, hasrat Ayuni Shazwanie Shabri, 21, menempah kereta idamannya tidak kesampaian apabila dia maut dipercayai akibat keracunan gas karbon monoksida di Permatang Pauh, Pulau Pinang awal pagi semalam.

Ayuni yang baru menamatkan pengajian kolej swasta dalam bidang kejururawatan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Permatang Pauh.

Dua rakan mangsa yang turut maut ialah Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21,  dan Nor Adilah Mohd. Safwan, 21.

Pasangan kembar Nor Adilah iaitu Nor Aqilah dilaporkan kritikal.

Sebelum kejadian, kesemua mangsa dilaporkan berehat sebentar di lokasi selepas berjalan-jalan di Pulau Jerejak sempena cuti Hari Malaysia.

Bapa Ayuni, Shabri Ahmad, 54, memberitahu, anak gadisnya itu ada menyatakan hasrat untuk membeli Proton X50.

Shabri menunjukkan gambar Allahyarham Ayuni Shazwanie.

“Arwah ajak saya menemaninya untuk buat tempahan tetapi hasratnya itu tidak kesampaian.

“Bagaimanapun, saya berniat akan cuba menunaikan hasrat arwah dengan membeli kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Sungai Petani semalam.

Katanya, arwah anaknya merupakan seorang yang ceria dan manja.

Menceritakan kejadian, menurut Shabri, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah kira-kira pukul 2 petang semalam bersama tiga rakan karibnya.

Katanya, kira-kira pukul 9.15 malam semalam, arwah  menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada ibunya, Zalina Othman, 53, bahawa mereka berhenti di tempat kejadian kerana seorang rakannya pening akibat mabuk laut.

Jenazah Allahyarham Ayuni Shazwanie dikebumikan petang semalam.

“Kami tunggu sehingga pukul 11 malam dan dia masih belum sampai ke rumah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mencarinya,” ujarnya.

Menurut Shabri, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati anaknya dan tiga rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, namun reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Jenazah Allahyarham Ayuni Shazwanie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani pukul 6.20 petang semalam.

Dalam pada itu, hasil siasatan awal mendapati kebocoran ekzos mungkin menjadi punca sebenar kejadian, sementara simptom awal salah seorang mangsa yang dilaporkan muntah dan pening kepala yang pada mulanya dikatakan mabuk laut juga masih dalam siasatan.

Sumber: Kosmo!