R&R Perasing Disiasat Selepas Wanita Meninggal Dunia Makan Roti Basi

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kematian seorang wanita akibat keracunan makanan yang disyaki selepas makan makanan basi yang dibeli di medan selera kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong, siasatan awal mendapati wanita berusia 54 tahun itu mengalami gejala keracunan makanan.

“Mangsa telah mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman yang telah menerima notifikasi kes keracunan makanan telah menjalankan siasatan terhadap premis terlibat,” katanya di sini hari ini.

Wanita tersebut dipercayai meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Selasa lalu.

Sebelum ini tular apabila seorang netizen mendakwa ibu saudaranya meninggal dunia akibat makan sandwich basi yang dibeli di R&R Perasing.

Sampel makanan telah diambil untuk siasatan lanjut.

Sumber : Kosmo