Kuala Lumpur, 17 September 2025 – Syarikat rakaman Padu Records dengan kerjasama neXtworktampil dengan inisiatif baharu yang dinamakan NextJam, sebuah pentas showcase yang memberi peluang kepada band-band lokal menyalurkan bakat, karya dan kreativiti mereka.
Pemilik Padu Records, Apak, melihat keperluan untuk mewujudkan platform khusus buat band muda di Malaysia yang selama ini kurang mendapat ruang untuk berkembang. Beliau menegaskan bahawa dalam era digital masa kini, kebanyakan syarikat rakaman lebih cenderung menandatangani artis solo atau influencer, sekali gus menyisihkan band-band indie yang memiliki potensi besar.
“Saya percaya bakat band-band tempatan tidak kurang hebatnya. Hanya kerana peluang yang terhad, mereka sukar menonjol. Melalui NextJam, kami mahu membuka jalan agar bakat-bakat ini dapat bersinar,” ujar Apak.
Projek ini digerakkan bersama Pengarah Projek NextJam dari neXtwork, En. Marco, yang optimis pentas ini mampu menjadi acara berkala. Menurutnya, NextJam disasarkan untuk dianjurkan sekurang-kurangnya sebulan sekali, malah berpotensi menjadi acara mingguan sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat muzik.
Selain persembahan pentas, NextJam juga merancang untuk mengundang rakan-rakan industri seperti syarikat rakaman dan stesen radio rasmi bagi bekerjasama serta membantu mempromosikan karya band-band indie yang terlibat.
Showcase Perdana NextJam
Edisi pertama NextJam akan berlangsung pada Sabtu, 11 Oktober 2025, bertempat di Drum Asia Live, Hartamas, bermula jam 8 malam.
Lima band telah disahkan membuat persembahan, iaitu, Smesta, Lumpoh, BluntSheep, Futura dan StopSign
Setiap band akan membawakan dua lagu cover serta tiga karya original, sekaligus memperlihatkan keunikan identiti muzik mereka di pentas.
Misi Mengangkat Martabat Band Lokal
NextJam bukan sekadar sebuah showcase, tetapi juga sebuah gerakan untuk melahirkan pelapis baharu dalam dunia band tanah air. Padu Records menyasarkan dalam tempoh dua tahun, band-band lokal ini mampu mencipta permintaan tinggi daripada masyarakat, sekaligus membuka lebih banyak ruang daripada penganjur acara, sebagaimana yang sering dinikmati oleh band-band dari Indonesia.
“Kami mahu membimbing mereka, membina keyakinan serta strategi sehingga wujud permintaan besar daripada peminat. Apabila ada permintaan maka pihak event organizer pasti lebih terbuka untuk memberi peluang,” jelas Marco.
Dengan adanya NextJam, Padu Records dan neXtwork yakin ekosistem muzik band di Malaysia akan kembali rancak serta mampu bersaing di peringkat serantau.