Home Berita Semasa Sanggup gilis ‘awek’ sendiri semasa lari daripada polis

Sanggup gilis ‘awek’ sendiri semasa lari daripada polis

SEORANG lelaki bertindak melanggar dan menggilis teman wanitanya sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis menghampiri kenderaan mereka.

Ketika kejadian di Cheras pada 26 Ogos lalu, teman wanita suspek berada di belakang kenderaannya untuk mengambil barang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff, amaran telah diberikan untuk berhenti namun suspek enggan bekerjasama.

Keadaan itu juga memaksa pihak polis melepaskan tembakan ke arah suspek.

“Lelaki berkenaan terus memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Pegawai polis telah lepaskan tembakan namun suspek berjaya melarikan diri,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Teman wanita suspek yang berusia 20an bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah ditahan bagi tujuan siasatan.

Sementara itu, bertindak atas maklumat, suspek lelaki berusia 32 tahun itu berjaya ditahan pada semalam di sekitar Cyberjaya.

Tangkapan ke atas suspek telah berjaya membawa kepada penemuan lokasi 11 kenderaan curi yang dilaporkan hilang bermula tahun 2019.

Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM130,000.

Kesemua kenderaan yang dicuri bertujuan untuk menjual alat ganti kenderaan yang dipasarkan di media sosial.

Siasatan juga mendapati suspek dan teman wanitanya masing-masing mempunyai 17 dan 3 rekod jenayah lampau.

Kedua-dua mereka juga merupakan individu dikehendaki polis ekoran terlibat kes dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Exit mobile version