Home Berita Semasa Faisal Disahkan Alami Lecur Tahap Dua – EXCO Selangor

Faisal Disahkan Alami Lecur Tahap Dua – EXCO Selangor

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, mengesahkan pemain bola sepak kebangsaan serta Selangor FC, Faisal Halim, mengalami kecederaan lecur tahap dua akibat disimbah cecair dipercayai asid di sebuah pasar raya di Kota Damansara, hari ini.

Beliau berkata, Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu yang sedang dirawat di sebuah hospital, dekat sini, lecur pada bahagian sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Katanya, beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan bahawa pemain sayap kebangsaan itu kini berada dalam keadaan stabil.

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik sekali gus mengecam keras serangan itu dan mahu polis menjalankan siasatan, sekali gus membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini, serta dikurniakan kesembuhan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

– BERRNAMA

Exit mobile version