Home Berita Semasa Niat peragut gagal, nak rentap rantai tapi tertarik kolar baju

Niat peragut gagal, nak rentap rantai tapi tertarik kolar baju

HASRAT dua lelaki dalam cubaan meragut seorang lelaki tidak tercapai apabila cubaannya untuk merampas rantai leher mangsa gagal dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Taman Desa pada 10 Julai lalu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua suspek berkenaan yang menaiki motosikal secara berasingan.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, usaha itu gagal apabila suspek tidak berjaya mendapatkan rantai tersebut manakala mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Salah seorang suspek tanpa turun dari motosikal cuba meragut rantai leher pengadu tetapi tidak berjaya disebabkan suspek tertarik kolar baju yang pengadu pakai dan terus melarikan diri.

“Semakan CCTV di lokasi mendapati terdapat tiga buah motosikal yang dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan stesen minyak berkenaan sebelum dua daripadanya cuba meragut rantai leher mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, siasatan lanjut pihak polis pada 18 Julai, sepasukan polis dari IPD Brickfields telah berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 25 tahun di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Serbuan tersebut turut berjaya membuat beberapa rampasan antaranya motosikal, telefon bimbit, beg galas, serta topi keledar yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan jenayah.

Hasil siasatan terhadap suspek juga mendapati terdapat beberapa rekod kesalahan lampau termasuk melibatkan kes dadah.

Menurut Anuar Omar, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi permohonan reman terhadapnya.

Setakat ini, polis juga turut giat mengesan seorang lagi suspek yang dikatakan masih bebas.

Exit mobile version