Home Berita Semasa Tular wanita gelang pink, polis sahkan individu pulang dari CAC

Tular wanita gelang pink, polis sahkan individu pulang dari CAC

POLIS mengesahkan kejadian tular berhubung penemuan seorang wanita memakai gelang pink di tempat awam dalam perjalanan pulang daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) pada jam 7.13 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan yang dilihat menaiki motosikal juga difahamkan positif COVID-19 termasuk individu yang menunggang motosikal terbabit.

“Kejadian dipercayai berlaku di Bandar Damansara Perdana Petaling Jaya.

“Siasatan mendapati wanita tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah klinik di Kota Damansara pada Sabtu lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudib berkata, wanita tersebut juga telah menghadirkan diri ke CAC Shah Alam semalam pada jam 4 petang.

Kedua-dua mereka kini dikatakan sedang menjalani sesi kuarantin di rumah atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihak polis dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang spekulasi berhubung imej tular yang boleh mengundang fitnah.

Exit mobile version