Home Berita Semasa Neelofa dan suami dilepaskan tanpa bebas

Neelofa dan suami dilepaskan tanpa bebas

TINDAKAN pasangan selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz yang sebelum ini melanggar SOP apabila rentas negeri ke Nilai 3 untuk membeli karpet membuatkan- ramai pihak tidak berpuas hati.

Mahkamah Majistret hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa bebas terhadap Neelofa dan suaminya daripada kesemua pertuduhan membabitkan pelanggaran SOP PKPB pada 2 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, Neelofa dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Manakala suaminya pula didakwa atas kegagalan membuat perkara sama selain tidak memakai pelitup muka di sebuah kedai menjual karpet.

Menurut Majistret Mohd Firdaus Saleh, keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling menarik balik semua pertuduhan.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 21 Disember sebagai sebutan semula kes sama ada untuk membebaskan kedua-dua mereka atau sebaliknya.

“Pihak pendakwaan juga sudah menerima dokumen representasi yang kita dikemukakan sebelum ini dan Peguam Negara sudah bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.

“Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok (norminal amaun) dan selepas kita bayar kita datang balik, sebab kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ia neutral tidak ada rekod langsung.

“Kita akan kembali di sini pada 21 Disember nanti untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan.

“Sungguhpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan,” kata peguam bela Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah.

Ujar Muhammad Shafie, kes berkenaan tidak sepatutnya berlanjutan berikutan keadaan Neelofa yang sedang hamil.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Neelofa dan suaminya bakal berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Exit mobile version